Penyiaran maklumat penting sekolah kepada ibu bapa menerusi Channel di Telegram

Apabila anak sulung saya mula memasuki Darjah 1, saya merasakan akan pentingnya untuk pihak sekolah menyalurkan maklumat terkini mengenai sebarang aktiviti sekolah.

Saya mahukan penyaluran maklumat bersifat satu hala yang lengkap, bukannya seperti kumpulan aplikasi permesejan Whatsapp semasa beliau di tadika. Ini kerana saya malas untuk menatal mencari maklumat yang diperlukan akibat terlalu banyak ‘Q&A’.

Seingat dulu, ada pihak dengan kerjasama KPM pernah mengusahakan satu aplikasi perhubungan sekolah – ibu bapa yang dikenali sebagai Sync School Messaging. Namun, saya tidak pasti sama ada penggunaan aplikasi perhubungan ini efektif ataupun tidak.

Oleh itu, saya merasakan institusi pendidikan di Malaysia harus melihat kepada penggunaan fungsi saluran yang dikenali sebagai Channel dalam aplikasi permesejan yang kini berkembang pesat iaitu Telegram.

Channel di Telegram

Telegram merupakan aplikasi permesejan yang terkenal dengan pelbagai inovasi. Ianya sangat pantas dan ‘ringan’ untuk dijalankan pada pelbagai platform. Channel di Telegram menyediakan fungsi penyaluran maklumat secara satu hala.

Dalam situasi tertentu, seperti penyampaian makluman penting, komunikasi sehala bagi saya lebih berkesan dengan syarat penyiar memastikan maklumat haruslah dirancang agar lengkap dan terperinci. Jika ahli yang lain ada pertanyaan boleh terus menghubungi individu berkenaan.

Berikut merupakan 6 sebab lain mengapa sekolah harus memanfaatkan kemudahan ini.

1. Beberapa admin boleh menyiarkan maklumat

Pihak sekolah boleh menetapkan pentadbir yang berautoriti seperti pengetua/guru besar, penolong kanan, setiausaha peperiksaan, setiausaha PIBG, setiausaha koperasi sekolah, jurugambar rasmi sekolah dan sebagainya. Dengan ini maklumat lebih diyakini dan pantas.

2. Memantau keberkesanan mesej

Anda juga dapat mengesan keberkesanan penyiaran makluman anda dengan melihat statistik mengenai jumlah ahli yang telah melihat mesej tersebut pada ikon mata di bahagian bawah kanan mesej. Bagi ahli yang baru menyertai kumpulan, beliau masih boleh melihat mesej-mesej sebelumnya.

3. Siaran buletin & media

Guru yang mengendalikan laporan dan dokumentasi bagi acara tertentu sekolah boleh terus memaparkan laporan di saluran ini. Sebagai contoh, sewaktu karnival sukan dan olahraga, guru boleh memaparkan beberapa gambar terbaik atau mengemaskini aktiviti secara langsung.

4. Pungutan suara

Pihak pentadbiran masih boleh berinteraksi dengan ibu bapa dengan menyiarkan bancian untuk mengumpul maklumat diperlukan sebelum membuat keputusan tertentu yang memerlukan pungutan suara ramai. Ciri Polls secara terbina ini tidak ditawarkan dalam aplikasi permesejan lain.

5. Perkongsian fail

Beberapa pentadbir sistem tadi boleh berkongsi sebarang siaran fail dengan lebih mudah dan cepat. Telegram menawarkan kepantasan untuk ibu bapa memuat turun sebarang jenis fail seperti borang, jadual waktu terkini, video promosi dan sebagainya. Perkongsian pautan web juga dipaparkan dengan kemas dan menarik.

6. Kepelbagaian inovasi

Seperti yang saya maklumkan, Telegram menawarkan inovasi yang menarik. Mereka sangat pantas mengemaskini aplikasi dengan pelbagai ciri-ciri baharu yang memudahkan pengguna. Kepelbagaian inovasi bermaksud platform ini sangat dinamik dan direka bentuk untuk anda.

Bagaimana bermula?

Bagi sekolah yang mahu mewujudkan saluran ini, perlulah melantik seorang pentadbir untuk mewujudkan satu saluran rasmi. Mungkin saluran ini dinamai dengan nama ‘SEKOLAH ANDA Noticeboard’ atau ‘SEKOLAH ANDA Channel’ atau apa-apa nama yang sesuai.

Muat naik logo sekolah pada ruangan gambar profil serta lengkapkan penerangan mengenai saluran. Kemudian, jemput kesemua guru, staf, AJK PIBG, AJK Persatuan Alumni serta komuniti yang berkaitan menyertai.

Saya yakin, hampir 80% sekolah-sekolah di Malaysia menggunakan Telegram sebagai platform rasmi komunikasi antara guru. Jadi, tiada masalah untuk para admin dari kalangan guru untuk mengendali aplikasi ini.

Untuk ibu bapa, antaramuka Telegram mirip kepada aplikasi permesejan popular Whatsapp. Namanya juga mudah diingati. Oleh itu, saya yakin aplikasi ini dapat diterima oleh mereka.

Salah satu ujian untuk saluran rasmi sekolah yang saya mulakan. Namun, projek ini tidak diteruskan kerana terpaksa meninggalkan sekolah untuk urusan belajar. Lihat ikon mata dibawah mesej menunjukkan jumlah ahli yang telah melihat info tersebut.

Setelah selesai, pentadbir sistem akan menetapkan nama pautan untuk mudah diakses. Pautan diberikan adalah ringkas dan mudah diingati seperti https://t.me/sekolahanda. Promosi pautan ini di laman web rasmi, laman-laman sosial serta kumpulan permesejan kelas jika ada.

Dengan aplikasi penjana QR Code, anda boleh cetak dan memaklumkan kemudahan ini kepada ibubapa untuk mereka menyertai kumpulan ini menerusi surat siaran. QR Code ini juga boleh ditampal di sekitar kawasan sekolah sewaktu mesyuarat PIBG atau hari terbuka sekolah.

Namun perlu diingat, ini merupakan kaedah alternatif. Kaedah tradisional seperti edaran surat siaran bagi pengumuman penting masih lagi perlu kerana tidak semua ibu bapa mempunyai akses kepada teknologi. Penggunaan aplikasi ini akan berkesan jika anda memperoleh lebih 75% ibu bapa yang menyertainya.

Dah siap saluran rasmi sekolah anda? Pengetua atau guru besar boleh la nanti siapkan rakaman perutusan untuk perayaan Tahun Baru Cina untuk disiarkan. 😋

Terokai Telegram

 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.