Samsung memperkenalkan dua tablet baharu – pencabar iPad & iPad Pro?

Tablet merupakan peranti terbaik untuk hiburan seperti menonton kandungan video serta bermain app permainan. Ia juga merupakan peranti terbaik untuk digunakan untuk pembelajaran.

Pasaran tablet sebenarnya didominasi oleh Apple. Namun dengan pengumuman terkini ini, Samsung nampaknya tidak menyerah kalah dengan menghasilkan tablet yang berkuasa serta mampu milik.

Pada Jumaat, Samsung memperkenalkan sebuah tablet berkuasa baharu seumpama iPad Pro serta sebuah lagi tablet berspesifikasi rendah seperti iPad.

Ia merupakan 2019 Galaxy Tab S5e 10.5 inci dan 2019 Galaxy Tab A 10.1 inci. Galaxy Tab S5e diumumkan secara global manakala Galaxy Tab A diumumkan di Jerman.

Galaxy Tab S5e hadir dengan rekaan serba baharu tanpa butang fizikal utama seumpama iPad Pro baharu. Dengan saiz 5.5 mm, ianya lebih nipis berbanding iPad Pro yang setebal 5.9 mm.

Galaxy Tab S5e menggunakan skrin Super AMOLED bersaiz 10.5 inci meliputi 81.8% permukaan hadapan. Selain itu, ia hadir dengan 4 pembesar suara Dolby Atmos dari AKG serta sistem pengecasan pantas dengan port USB Type-C.

Antara kelebihan tablet ini berbanding iPad Pro adalah skrinnya dibina dengan teknologi OLED yang terang dan jelas dibawah mentari serta menyokong memori storan tambahan sehingga 512GB menerusi slot microSD.

Ia juga mempunyai dimensi nisbah skrin 16:10 yang membolehkan kandungan video lebar seperti filem dipaparkan dengan lebih baik. Tablet terbaru ini dijana oleh Android 9.0.

2019 Galaxy A 10.1 inci pula hadir dengan reka bentuk yang hampir sama dengan abangnya, namun dengan spesifikasi yang lebih rendah. Ianya dijangka dijual pada harga bermula bawah RM1,000.

Bersama tablet ini disertakan juga mod untuk kanak-kanak. Ibu bapa boleh memantau dan mengawal kandungan yang bersesuaian dengan anak mereka. Ibu bapa juga boleh menetapkan masa penggunaan mereka.

Dilancarkan di Jerman, tablet ini akan mula dijual mulai 5 April disana seterusnya hadir ke pasaran global bersama Galaxy Tab S5e. Adakah ianya mampu mencabar legasi iPad? Kita tunggu dan lihat prestasinya nanti.

Sumber: Samsung Newsroom 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.