Sebulan PKP COVID-19 dan Kesejahteraan Warga Digital

Petang tadi saya bersama Cikgu El (cikguel.com) mengendalikan satu sesi perkongsian bertajuk ‘Re-thinking Digital Citizenship for Online Education‘ menerusi sesi interaktif Webex dalam siri ke-2 Apple Professional Learning.

Perkongsian menjurus kepada salah satu sub dalam tajuk Kewarganegaraan Digital (Digital Citezenship) iaitu Kesejahteraan Digital (Digital Wellness). Catatan ini merupakan rumusan daripada perkongsian tadi.

Kewarganegaraan Digital

Kewarganegaraan Digital ini merupakan satu bidang yang agak luas. Portal AES Education telah menyenaraikan 7 konsep asas (7 key concepts) bagi bidang ini iaitu:

  • Empati (Empathy).
  • Cara Internet berfungsi (How the Internet works).
  • Memahami data pengguna (Understanding user data).
  • Mempraktikkan literasi digital (Practicing digital literacy).
  • Mengakui jurang digital (Acknowledging the digital divide)
  • Mengamalkan kesejahteraan digital (Practicing digital wellness).
  • Melindungi peranti digital (Securing digital devices).

Kesejahteraan Digital

Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung COVID-19, saya ingin menarik perhatian kepada konsep ke-6 iaitu ‘Mengamalkan kesejahteraan digital’ kerana perkara ini sangat relevan dengan apa yang kita hadapi kini.

‘Kesejahteraan Digital’ atau ‘Digital Wellness’ merupakan satu terma yang menjadi agak popular sejak 2017. Ini kerana wujud kesedaran kepada masalah yang muncul berpunca daripada sikap manusia yang tanpa disedari memberi kesan buruk.

Untuk mencapai warga digital yang sejahtera, antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah hal-hal kesejahteraan yang bersifat subjektif, hal gangguan dalam talian serta kawalan kendiri.

Terdapat satu lagi perkara yang perlu diperhatikan apabila berbicara mengenai usaha untuk mempromosi kesejahteraan iaitu kesihatan fizikal dan juga emosi.

Kesihatan Fizikal dan Emosi

Jadi, mari kita bermuhasabah diri sepanjang hampir sebulan tempoh PKP ini. Arahan duduk di rumah membuatkan pergerakan kita agak terbatas. Anda lihat diri anda sendiri. Tentu ada perasan yang anda banyak menghabiskan masa di dalam talian bukan?.

Dalam minggu pertama PKP sahaja, Forbes melaporkan yang mana Internet dunia telah mengalami peningkatan trafik sebanyak 70% manakala perkhidmatan ‘video streaming’ meningkat lebih 12%.

Nexflix, Amazon Prime dan Youtube seterusnya mengambil langkah melaraskan tetapan ‘default‘ paparan video dengan paparan beresolusi lebih rendah di Eropah dan beberapa negara akibat bebanan infrastuktur daripada penggunaan yang terlalu tinggi.

Menurut GlobalWebIndex, Malaysia pada Januari 2018 merupakan antara negara 10 tertinggi ‘melepak’ di media sosial dengan purata masa 3 jam. Walau bagaimanapun, angka berkurangan pada Januari 2020.

Data ini sebelum PKP, saya yakin angka ini akan meningkat dengan drastik semasa tempoh PKP COVID-19. Ini hanya angka di media sosial, belum lagi masa lain dibelanjakan untuk hal-hal lain melibatkan penggunaan peranti.

Pada Januari 2020, rakyat Malaysia membelanjakan 2 jam 45 minit sehari di laman sosial. 21 minit lebih tinggi dari purata dunia.

Keburukan berpunca daripada pendedahan keterlaluan kepada peranti digital sebenarnya bukan satu isu yang baharu. Banyak kertas kajian telah diterbitkan membuktikan terdapat kesan yang signifikan kepada tahap kesihatan manusia.

Antara yang sering dibincangkan adalah kesan langsung kepada kesihatan fizikal terutamanya kesihatan mata serta tubuh badan anda. Baca artikel ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut kesan penggunaan teknologi digital kepada kesihatan.

Selain itu, penggunaan peranti digital meningkatkan gejala ketagihan yang turut memberi kesan buruk kepada perubahan tingkah laku pengguna.

Antara kesan ketagihan adalah ganguan fungsi tidur, menjejaskan diet harian  serta mengganggu sistem imunisasi. Ketagihan juga menjurus kepada satu lagi penyakit emosi iaitu kemurungan.

Bagaimana untuk kekal cergas semasa PKP?

Pembelajaran dalam talian musim PKP COVID-19 membuatkan para rakan guru meluangkan banyak masa dalam talian, begitu juga para pelajar. Saya sendiri meluangkan masa 38% lebih banyak pada minggu pertama PKP berbanding hari biasa.

Adalah amat penting untuk kekal cergas semasa tempoh PKP dalam masa yang sama masa dapat diuruskan dengan lebih baik. Saya percaya, mengurangkan masa di skrin memberi ruang masa kepada aktiviti-aktiviti fizikal lain.

Seterusnya, saya kongsikan penggunaan dua teknologi yang saya gunakan dengan aktif semasa PKP. Dengan penggunaan kedua-dua teknologi ini, ia telah banyak membantu saya dan mungkin juga anda untuk lebih sejahtera di alam maya.

Apple ‘ScreenTime’ dan Google ‘Digital Wellbeing’

Apple dan Google sebenarnya telah mula menyedari akan kepentingan untuk melindungi penggunaan daripada masalah kesihatan yang berpunca daripada penggunaan peranti yang berlebihan.

Apple melancarkan fungsi Screen Time terbina mulai kemaskini iOS 12, manakala Google pula memperkenalkan app Digital Wellbeing pada 2018 yang boleh anda dapati dari Play Store.

Apple dan Google menawarkan aplikasi ini sebagai satu kemudahan untuk pengguna mengurus masa penggunaan peranti.

Kedua-dua fungsi ini memaparkan analisis data penggunaan peranti serta terdapat fungsi untuk mengawal penggunaan serta menetapkan fungsi kawalan masa serta sekatan atau tapisan kandungan.

Untuk menggunakan fungsi ini dengan berkesan, disiplin dan akauntabiliti perlu diutamakan agar anda dapat mengawal penggunaan lantas mengurangkan kebergantungan yang berlebihan kepada peranti.

Pengguna Apple boleh mengakses Screen Time pada bahagian ‘Setting’.

Penggunaan fon telinga tanpa wayar TWS.

Selain aplikasi kawalan penggunaan peranti, dikongsi juga pada sesi tersebut mengenai pengalaman saya menggunakan fon telinga stereo tanpa wayar TWS yang saya anggap sebagai satu teknologi yang sangat berguna semasa tempoh PKP ini.

TWS atau True Wireless Stereo merujuk kepada teknologi yang membolehkan anda menyambung sepasang fon telinga melalui Bluetooth pada telefon pintar anda. Contohnya, seperti Apple Airpods atau Samsung Galaxy Buds.

Populariti peranti tanpa wayar ini membuatkan banyak pengeluar kini telah menawarkan pelbagai pilihan pada harga serendah RM40 (pada kualiti yang setara dengan harganya).

Penggunaan teknologi ini semasa PKP menjadikan saya tidak lagi ‘terikat’ kepada peranti.

Dengan Airpods, saya bebas bergerak ke sana dan ke sini melakukan pelbagai aktiviti di dalam rumah sambil mendengar saluran podcast dan audiobook kegemaran serta sesekali menikmati muzik menerusi Apple Music.

Saya juga melanggan aplikasi Youtube Premium yang menawarkan ciri audio kekal aktif walaupun anda beralih ke app-app lain atau video tidak dipaparkan mahupun ketika skrin tidak lagi aktif.

Youtube Premium memberi satu pengalaman yang menyeronokkan apabila saya dapat juga mendengar siri motivasi atau ceramah agama dari personal kegemaran yang kebanyakkan ditawarkan dalam bentuk video (namun, saya hanya mahu mendengar audionya sahaja).

Selain itu, musim PKP ini juga menyaksikan ramai rakan-rakan mengendalikan sesi perkongsian ilmu untuk pembangunan profesional guru (CPD). Menerusi Zoom atau Webex, saya menyertai dengan tidak mengaktifkan fungsi mikrofon dan video.

Kebebasan ini membolehkan saya membuat kerja-kerja fizikal yang lebih produktif dalam masa yang sama saya dapat menyertai sesi pembelajaran yang saya minati. Anda harus mencubanya sendiri.

Semoga dengan perkongsian ini dapat memberi idea kepada anda untuk mengawal masa serta menjadi lebih produktif semasa musim PKP COVID-19 ini seterusnya dapat menikmati kesejahteraan dan ketenangan hidup.

 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.