[Catatan] Menyampaikan latihan modul ‘Everyone Can Create’ di Ganu Edtech Day 2019

Ganu Edtech Day 2019 merupakan acara kedua saya bersama pertubuhan pendidikan RumahKOD setelah telibat sama menjayakan KL Edtech Day 2018 pada Disember lepas.

Acara ini melibatkan dua sesi perkongsian utama serta lebih 40 sesi bengkel secara hands-on bersama lebih 300 peserta. Acara berlangsung di TD 1303, Kuala Terengganu pada 23-24 Mac lalu.

Dalam KL Edtech Day 2018, saya membawa 30 unit iPad Pro serta Apple Pencil untuk sesi bengkel yang disediakan Apple. Namun, kali ini saya mengalami sedikit masalah teknikal untuk logistik.

Terima kasih kepada Yayasan Terengganu meminjamkan saya 25 unit iPad. Saya difahamkan Yayasan Terengganu sedang giat menjalankan program pendidikan bersama Apple untuk sekolah-sekolah yang dinaunginya.

Pembelajaran kreativiti

Dalam acara kali ini, saya diberi empat slot oleh pihak penganjur. Saya memilih untuk menyampaikan satu modul terkini Apple untuk kreativiti iaitu Everyone Can Create.

Dalam slot pertama selama 2 jam, para peserta belajar menghasilkan buku digital sendiri menggunakan iPad. Untuk itu mereka didedahkan dengan dua app utama dari Apple iaitu Keynote dan Pages.

Ianya sesuai bagi guru yang mahu menghasilkan modul digital, buku interaktif atau kandungan pembelajaran multimedia. Objektif tercapai apabila semua peserta berjaya menghasilkan buku digital sendiri dalam format ePUB.

Dalam slot kedua, juga selama 2 jam, peserta didedahkan dengan kepentingan penerbitan video dalam pendidikan. Pengalaman saya serta karya-karya video sebelum ini ditunjukkan kepada peserta.

Seterusnya peserta dibimbing untuk menghasilkan video kreatif menerusi app Apple iMovie serta menghasilkan muzik latar sendiri menggunakan app Apple GarageBand.

Kandungan ini amat sesuai bagi guru yang mahu menghasilkan video korporat sekolah, video pengajaran, video dokumensi program-program sekolah dan sebagainya. Hari kedua, slot diulang semula.

Lihat video yang saya hasilkan menggunakan iPad dan disunting menerusi iMovie

Saya mempunyai 4 slot yang sangat padat, namun saya mengambil peluang yang ada untuk menghasilkan video dokumentasi saya sendiri menerusi iPad serta menyuntingkan menggunakan app iMovie secara on-the-go.

Mari kita saksikan apa iPad Pro generasi pertama saya yang sudah berusia 3 tahun boleh lakukan. Bagaimana hasilnya kalau menggunakan iPad Pro generasi ketiga kan?

Berikut pula merupakan video dokumentasi yang dhasilkan menerusi penggunaan BTPN Terengganu menggunakan peralatan rakaman profesional. Hasilnya memang terbaik.

Terima kasih atas layanan mesra semua

Terima kasih saya ucapkan atas layanan mesra pasukan RumahKOD  yang diketuai oleh pengerusinya, Kak Normie Azura. Semoga kerjasama dapat diteruskan pada masa hadapan. Ganu Edtech Day 2019 saya sifatkan sebagai penganjuran yang sangat berjaya.

Terima kasih juga kepada pegawai teknologi pendidikan Cikgu El dari BTPN Terengganu atau layanan yang cukup istimewa. Melihat cara berfikir beliau, saya dapat membayangkan masa depan Terengganu yang lebih gemilang dalam bidang ini.

Terima kasih juga kepada Kak Syikin dan suami yang memperkenalkan kami dengan tempat makan menarik di sekitar Terengganu. Peluang makan betul-betul bawah jambatan memang tak dapat dilupakan.

Penyertaan kali ini memperkenalkan saya dengan ramai rakan baharu yang sama-sama bergiat aktif dalam bidang ini. Cikgu Kay, Ustaz Fauzi, Fakhrulrazi dan ramai lagi kenalan yang sempoi-sempoi belaka.

Bersama rakan-rakan lain menyampaikan latihan dalam sesi bengkel.

Tidak dapat dilupakan pengalaman apabila saya dan Cikgu Herry (MudahMengajar.com) ‘terkandas’ tidak dapat menyertai jemputan makan malam bersama pasukan pengajur RumahKOD.

Namun, kejadian ini banyak hikmahnya apabila kami dapat berbual panjang selama hampir 3 jam di warung tepi jalan berbincang mengenai strategi dan amalan penggunaan teknologi dalam pembelajaran abad ke-21.

Ternyata Cikgu Herry merupakan seorang pakar pedagogi digital yang mempunyai minat dan kesungguhan untuk terus belajar. Agak terkejut sebenarnya pada slot petang beliau menyertai satu slot bengkel saya. Jangan terkena ‘racun’ ya Cikgu Herry, hehe.. .

Bergerak pulang ke Penang menerusi bas. Satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Memang penat, tapi berbaloi…

Terima kasih diucapkan kepada para pensyarah, guru, pemimpin pendidikan, pegawai pendidikan dan ramai lagi yang menyertai slot saya. Inshaallah jumpa lagi dilain masa.

Sertai Apple Community Malaysia 
Lihat apa itu Everyone Can Create

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.