Tiada kit Arduino? Cikgu Saffuan kongsikan cara belajar menerusi aplikasi simulasi dalam talian

Kaedah terbaik untuk belajar rekacipta elektronik adalah dengan menyentuh sendiri setiap komponennya secara fizikal. Dalam subjek RBT, kit Arduino diperkenalkan kepada pelajar untuk memahami bagaimana litar kawalan mikro berfungsi.

Namun, tidak semua orang mampu mendapatkan kit ini. Di sekolah-sekolah tertentu, atas faktor kos mungkin, kit ini disediakan dalam jumlah yang terhad yang mana pelajar hanya boleh menggunakannya sewaktu di bengkel sahaja dengan sejumlah modul asas.

Cikgu Saffuan dari SK Long Sepiling, Marudi, Sarawak di catatan Facebook beliau berkongsi satu aplikasi dalam talian iaitu Tinkercad yang boleh digunakan pelajar untuk belajar asas Arduino secara simulasi tanpa memerlukan kit sebenar.

Tinkercad merupakan satu perkhidmatan pembelajaran yang dibangunkan oleh Autodesk, peneraju dunia rekabentuk 3D & CAD dunia. Selain simulasi litar kawalan ini, mereka menyediakan tutorial pembelajaran menarik untuk asas reka bentuk 3D dan juga koding.

Perkhidmatan pembelajaran secara web ini membolehkan pelajar mencuba pelbagai jenis modul yang dapat membantu pelajar memahami dengan lebih baik. Ianya menyediakan pelbagai jenis modul penderia yang mungkin pelajar tidak mampu mendapatkan kesemuanya.

Cikgu Saffuan juga menyediakan satu video tutorial bagi menggunakan aplikasi ini di saluran Youtube beliau. Anda juga boleh berkunjung ke blog beliau di https://muhammadsaffuan.weebly.com.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.