Sorotan DevCon Cikgu Edition 2017 – Belajar ‘coding’ cara mudah untuk guru

Hari ini berlangsungnya satu bengkel khas anjuran DevCon, iaitu satu komuniti pembangun perkhidmatan dan produk digital paling aktif di Malaysia, yang senantiasa menawarkan latihan percuma kepada komuniti.

Saya yang turut sama terlibat sebagai sukarelawan DevCon, merancang program ini agar memenuhi maksud kandungan kurikulum itu sendiri disamping memahami keperluan dan kehendak para guru.

Para fasilitator bengkel datang daripada individu yang begitu berpengalaman dalam dunia digital. Mereka telah lama mencorak industri ini Malaysia. Pengalaman dan perkongsian mereka memberi banyak manfaat kepada para peserta.

Realiti Pendidik

Sesi pertama dimulakan dengan pengenalan dan perbincangan ringkas. Ia dimulakan dengan perkongsian pengalaman saya dalam pembangunan pelajar dalam bidang pengaturcaraan dan inovasi digital.

Seterusnya, saya membentangan sulibus ASK serta persekitaran sekolah untuk para fasilatator memahami keadaan sebenar perlaksanaan agenda Digital Maker Movement dalam pendidikan di Malaysia.

Seterusnya saya membentangkan hasil tinjauan ringkas yang diambil daripada 238 orang guru ASK & SK seluruh negara. Data ini amat signifikan menunjukkan keadaan sebenar para guru.

Berdasarkan maklumbalas, data menunjukkan 41% guru tidak bersedia mengajar pengaturcaraan, satu angka yang agak mengejutkan. Sebelum itu dimaklumkan, data ini diambil secara soalan tertutup, bukan secara ordinal atau berskala.

Bagi saya, untuk perlaksanaan yang terbaik, guru yang bersedia sepatutnya mencapai angka 80%. Nampaknya banyak perkara yang perlu dilakukan oleh pelbagai pihak supaya masalah ini dapat diatasi.

Data juga menunjukkan kadar penilaian kendiri guru terhadap kemahiran pengaturcaraan menunjukkan guru-guru ASK & SK berada pada tahap purata 3.64 / 10. 

Saya menawarkan data-data ini kepada pihak-pihak tertentu yang mahu memahami keadaan sebenar para guru. Anda boleh terus menghubungi saya menerusi email ke razif[at]cikgusiber[dot]com.

Mengapa Python?

Seterusnya sesi oleh Khalil Nor, seorang sukarelawan yang begitu berpengalaman dalam dunia digital. Perbincangan terarah kepada mengapa Python digunakan dalam buku teks Tingkatan 2.

Python sebenarnya merupakan sulibus tahun pertama kebanyakan universiti di seluruh dunia yang menawarkan Sains Komputer. Ianya merupakan bahasa pengaturcaraan yang sedang berkembang dengan pesat sekali.

Menurut Khalil, langkah kerajaan meletakkan Python dalam sulibus tingkatan 2 merupakan satu keputusan yang tepat memandangkan Python amat diperlukan oleh industri untuk pelbagai bidang termasuklah bidang web programming, AI dan sains data.

Menurutnya, pendekatan ini mencorak masa hadapan yang cerah kepada industri digital negara disamping pelajar akan belajar pemikiran aras tinggi.

Python merupakan interpreted language iaitu arahan dilaksanakan terus baris demi baris, tidak memerlukan compiler dan sangat interaktif.

Ianya juga mempunyai sintaks yang ‘clean’, memory management secara automatik, dan juga menyokong utiliti library dan utiliti dari pihak ketiga.

Para fasilitator dimaklumkan mengenai terdapat negeri yang mencadangkan penggunaan bahasa pengaturcaraan lain seperti PHP mengantikan Python di tingkatan 2.

Mereka berpendapat Python merupakan bahasa yang paling sesuai (bagi peringkat permulaan) berbanding PHP memandangkan industri dalam dan luar negara sudah mula meninggalkan PHP.

Algoritma dan System Architecture

Seterusnya, saudara Iqbal yang berpengalaman membangunkan perisian menerangkan tentang apa itu System Architecture selain memberi pengenalan serba sedikit mengenai Object-oriented Programming (OOP), API serta embedded.

Menurut beliau, sebagai seorang pengaturcara profesional, kami menggalakkan para pendidik untuk memaklumkan kepada pelajar mengenai kepentingan memahami system architecture.

Ianya sangat penting kerana ianya merupakan asas yang kadang-kadang beliau sendiri tidak faham mengapa pelajar jurusan Sains Komputer dari IPT yang memohon berkerja tidak mahir perkara tersebut.

System architecture perlu difahami kerana mungkin produk yang dihasilkan akan diakses oleh beribu-ribu pengguna. System architecture yang lemah akan memberi masalah yang amat besar.

Amat penting untuk menerapkan amalan pembangunan perisian yang betul kepada pelajar. Sebenarnya system architecture  berkaitan dengan bab algoritma yang sedia kita belajar dalam bab tingkatan satu dan dua.

Kemudian, saudara Iqbal menjelaskan mengapa pengaturcaraan merupakan subjek yang jarang dapat menarik minat pelajar, termasuklah pelajar di IPT. Ianya perkara lumrah bagi seseorang manusia untuk tidak berminat kepada subjek ini.

Mungkin apa yang dilakukan oleh kerajaan dengan memperkenalkan visual-based pada awalnya adalah untuk menarik minat mereka. Ianya haruslah dipuji.

Seterusnya guru perlu tunjukkan perkara yang menarik minat pelajar seperti pembangunan projek mini game, pembangunan projek AR dan sebagainya.

Oleh itu, pelajar akan terarah kepada backend dengan sendirinya kerana mereka telah melihat sesuatu yang telah memberi makna kepada mereka.

Jika diajar sebagai pengaturcaraan secara linear, ianya akan menjadi seperti subjek yang susah seperti matematik tambahan, ujarnya lagi.

Mengapa guru perlu ‘engage’ dengan industri

Seterusnya sesi petang, saya berkongsi mengenai Swift Playgrounds untuk guru guru belajar fundamental pengaturcaraan. Apple menyediakan inisiatif tersendiri dikenali sebagai Everyone Can Code untuk sesiapa sahaja belajar coding.

Seterusnya Azman Q yang telibat dengan syarikat yang membangun dan mengendalikan lebih 800 sistem berkongsi mengenai kepentingan untuk mempelajari pengaturcaraan dan mengapa perlu melibatkan industri.

Menurut beliau, cerita di industri sebenarnya boleh menarik minat pelajar. Guru perlu melihat betapa pentingnya untuk mereka memahami apa yang berlaku dalam industri memandangkan modal insan yang dihasilkan nanti akan kekal relaven.

Belajar pengaturcaraan bukan bermaksud hendak menjadi seorang programmer. Ianya menyediakan pelajar untuk menjadi orang yang faham mengenai inovasi digital. Beliau memberikan perkerjaan project manager sebagai contoh.

Project manager masa depan perlu tahu segala apa yang berlaku secara digital untuk mereka mengadaptasi teknologi dan inovasi terkini dalam projek atau perkhidmatan mereka nanti.

Menurut beliau lagi, kaedah terbaik dan pantas untuk pelajar dan para guru belajar pengaturcaraan adalah untuk mereka memberi cabaran kepada diri sendiri.

Mereka harus bayangkan projek yang mahu mereka bangunkan dan teroka serta usaha untuk merealisasikan. Dalam masa yang sama, asas dan fundamental perlu dipelajari.

Asas Python

Seterusnya Ugen yang berpengalaman luas dalam bidang Machine Learning dan Azman Q mengambil tugas untuk mengajar asas Python berdasarkan sulibus dalam ASK Tingkatan 2.

Beliau menggalakkan guru menggunakan text editor, terminal atau command prompt. Ianya lebih mudah untuk dikendalikan jika tidak melibatkan UI.

Penggunaan IDE seperti Pycharm Edu dan sebagainya walaupun bagus, namun, melihat kepada sulibus, saranan diatas tadi lebih sesuai. IDE menjadi pilihan jika pelajar ingin menghasilkan kerja projek yang lebih besar.

Ugen menegaskan, sebagai seorang guru Sains Komputer, mereka haruslah mahir dengan perkara asas seperti cara untuk membuat pemasangan Python. Untuk makluman versi Python terkini adalah 3.6.

Menurut Ugen, untuk belajar pengaturcaraan, perkara pertama hendaklah memahami perbezaan antara syntax error dan semantic error. Untuk asas guru dan pelajar perlu kenal apa itu input, output, math/logic, condition statement dan repetition (loop). 

Setelah tamat sesi Asas Python, guru dihidangkan dengan demo aplikasi AI dalam Python. Fasilitator menunjukkan bagaimana menggunakan image recognition pada imej pegun dan face recognition dalam video menggunakan Tensorflow dan Open CV.

Demo aplikasi bahasa pengaturcaraan pada tahap atau peringkat yang lebih tinggi kepada pelajar amat penting untuk mereka melihat potensi yang wujud serta lebih menarik minat mereka.

Meja bulat

Seterusnya pada akhir sesi meja bulat. Para pembangun mencadangkan para guru Sains Komputer menengah atas menggunakan Blue J berbanding Eclipse untuk belajar Java.

Menurut mereka, Blue J memberi asas yang kukuh kepada pelajar sebelum mereka melangkah kepada tahap seterusnya. Ianya amat mudah untuk pelajar memahami system architecture. 

 

Ianya terbukti apabila pihak DevCon menggunakan alat ini kepada pelajar lepasan PT3 yang tiada asas pengaturcaraan dan dalam masa 1 bulan salah seorang pelatih telah memenangi tepat kedua hackathon kategori terbuka.

Kemudian para guru memaklumkan mengenai fasiliti komputer yang teruk di sekolah untuk melaksanakan ASK dan SK. Para fasilitator mencadangkan instalasi LINUX pada komputer lama yang perlahan.

LINUX menyediakan persekitaran yang lebih baik untuk pembangunan digital. Ia mampu berjalan pada komputer lama namun guru perlu mahir beberapa perkara asas.

Perbincangan juga diteruskan dengan teknik pelajar ‘kelas belakang’ untuk belajar pengaturcaraan serta cabaran kepada para pelajar yang tiada kemudahan komputer di rumah.

Hasil perbincangan meja bulat antara para pembangun dan guru membolehkan masing-masing dapat memahami keadaan semasa yang belaku dalam institusi pendidikan dan juga industri.

Ianya memberi semangat untuk para sukarelawan DevCon untuk sama-sama membangunkan Malaysia menerusi institusi pendidikan. Inshaallah, DevCon Cikgu Edition akan hadir dengan pelbagai aktiviti yang lebih menarik pada 2018.

Sertai komuniti DevCon untuk pelbagai aktiviti terkini.

Sentiasa bersama kami untuk pelbagai perkongsian teknologi dalam pembelajaran abad ke-21 dan jangan lupa untuk like laman Facebook kami.

 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.