Bagaimana menggunakan aplikasi Mentimeter dalam pengajaran

Saya amat bertuah kerana sepanjang semester yang baru sahaja bermula, saya akan berguru dengan Prof. Madya Dr. Azidah, penerima ‘Anugerah Pengajaran’ di Anugerah Akademik Negara ke-10 tahun lepas.

Dalam sesi pengenalan untuk kelas ‘Educational Strategies’ pada hari ini, beliau memberi kami inspirasi untuk memperkasa diri dengan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang pendidik abad ke-21.

Setiap alat teknologi yang digunakan dalam pembelajaran perlu diiring dengan strategi yang betul untuk mencapai sesuatu objektif.

Salah satu contoh yang diberi adalah aplikasi Mentimeter dalam pembelajaran.

Untuk pengetahuan anda, Mentimeter merupakan satu aplikasi berasaskan web yang boleh digunakan untuk melakukan ‘survey’ atau ‘poll’ secara pantas dalam sesuatu pengajaran.

Kelebihan Mentimeter ianya amat mudah digunakan. Proses anda membina soalan tinjauan juga amat mudah.

Bagaimana untuk menggunakan aplikasi Mentimeter secara berkesan di dalam kelas anda?

1. Perangsang dalam set induksi

Dalam set induksi, pengunaan Mentimeter dapat merangsang dan menarik perhatian pelajar dengan sesuatu tajuk yang ingin diajar. Ianya boleh digunakan secara kreatif untuk menjadikan set pengenalan anda sesuatu yang interaktif dan bermakna.

2. Alat untuk mengumpul data

Guru boleh memgumpul data daripada pelajar secara pantas. Mungkin guru boleh mendapatkan maklumat mengenai pengetahuan sedia ada pelajar serta boleh mengukur tahap penilaian kendiri pelajar terhadap sesuatu kemahiran. Maklumat akan terus didapati untuk dianalisis.

3. Untuk menggalakkan pendapat atau pandangan

Memberi pendapat dan pandangan secara lisan adalah kaedah terbaik untuk memantapkan kemahiran komunikasi. Tetapi kaedah ini sering dibatasi oleh sikap pelajar yang malu untuk mengutarakan pandangan. Dengan ciri ‘anonymous‘ pada Mentimeter, pelajar bebas mengutarakan pendapat. Dengan ini, kualiti dan kuantiti sesuatu pendapat dapat dipertingkatkan.

4. Tinjauan untuk refleksi

Dengan Mentimeter, guru dapat mengukur dan menilai keseluruhan set pembelajaran yang telah berlangsung. Gunakan 5 minit waktu akhir untuk pelajar mengisi maklumat mengenai tahap pemahaman mereka, apa yang mereka sukakan dalam pembelajaran hari ini atau bertanyakan jika ada sebarang persoalan yang masih terbuku dihati mereka.

5. Untuk perancangan pengajaran guru

Guru boleh menggunakan Mentimeter untuk mendapatkan data yang sah untuk menghasilkan sesuatu set pembelajaran atau rancangan pengajaran. Contohnya, untuk kelas esok, guru boleh melakukan tinjauan ringkas dengan meminta pelajar memberikan beberapa maklumbalas serta maklumat yang diperlukan.

6. Sebagai tugasan pelajar

Pelajar boleh menggunakan Mentimeter sebagai alat untuk mengumpul data secara terus. Jika pelajar mempunyai peranti sendiri, mereka boleh menjalankan aktiviti luar seperti kajiselidik guru dan pelajar di sekitar sekolah. Di kelas Sains data-data awal setiap kumpulan bagi eksperimen yang sama dapat dikumpulkan untuk dipaparkan di hadapan kelas.

Terokai Mentimeter

Bagaimanakah anda menggunakan Mentimeter ? Kongsikan pengalaman anda pada ruangan komen dibawah.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.