Ini teknik untuk meningkatkan jumlah tontonan TikTok anda | TikTok Pendidikan

Masa saya amat terbatas dengan memberi tumpuan kepada hal-hal pembangunan sekolah dalam hal ICT. Saya bukannya seorang yang sering ‘bertaut’ di media sosial. Tak sempat pun, haha.

Akan tetapi, saya sering mencuba aplikasi-aplikasi baharu yang mungkin memberi manfaat kepada dunia pendidikan. Sekadar bereksperimen sahaja, supaya saya boleh kongsikan dengan rakan-rakan lain.

Dalam acara MyEduBlog Meetup 2.0 pada akhir 2019, saya menceritakan ‘ramalan’ saya yang mana hanya tiga media sosial ini yang akan menjadi dominan pada masa hadapan bagi pelajar generasi baharu.

Ianya adalah TikTok, Twitter dan Instagram. TikTok bagi saya amat menarik kerana ia memberi tumpuan kepada paparan video klip pendek dengan kesan suntingan menarik. Suatu yang menepati selera anak muda.

Kini, semakin ramai pendidik yang mula berTikTok. Anda mungkin mengharapkan video anda mendapat tontonan yang tinggi, namun setelah beberapa video sambutan agak hambar.

Jadi, ini saya kongsikan 6 tips bagaimana cara meningkatkan jumlah tontonan di TikTok.

1. Menggunakan tanda pagar #TikTokGuru

Dalam satu sesi perkongsian online bersama TikTok Malaysia yang disertai baru-baru ini, mereka menyatakan akan membantu para guru dengan meningkatkan lagi jumlah tontonan mereka jika mereka menggunakan tanda pagar #TikTokGuru pada penerangan video. Mudah sahaja.

Untung-untung boleh buat duit, hehe

Bersama tanda pagar #TikTokGuru, terdapat banyak lagi tanda pagar popular yang anda boleh gunakan yang didedikasi khas untuk pendidikan seperti #TikTokClassroom dan sebagainya.

2. Video setiap hari

Algoritma TikTok akan ‘menghargai’ pengguna yang kerap menerbitkan kandungan klip video. Anda perlu menghasilkan kandungan setiap hari jika mahu kandungan anda menemui ramai penonton.

Tetapi, sebagai guru agak mencabar untuk menerbitkan kandungan setiap hari. Mungkin anda boleh mempertimbangan 3 video berkualiti seminggu. Pastikan anda konsisten.

3. Meningkatkan kualiti kandungan

Ini perkara terpenting untuk meningkatkan jumlah tontonan. Sentiasa menghasilkan kandungan yang berkualiti dan kreatif dengan menggunakan pelbagai ciri yang disediakan pada TikTok.

Kandungan yang berkualiti akan mendapat perhatian lebih ramai orang membuatkan mereka menonton sehingga habis video serta meninggalkan komen.

Saya ada melihat beberapa guru yang kandungannya 100% memaparkan rakaman skrip komputer atau telefon pintar. Sebenarnya, ianya tidak bagus. Ok sahaja untuk perkongsian dengan kaedah demikian namun perlu diselangi dengan video paparan ‘sketsa’ kita sebagai manusia.

4. Layan followers dengan kandungan yang relevan

Ketahuilah kini, sebahagian besar pengguna TikTok di Malaysia adalah golongan remaja. Pengguna yang follow saluran anda sama ada dua. Pertama, pengguna yang mengenali anda seperti anak murid anda atau memang anda guru yang terkenal.

Kedua, orang yang anda tidak kenali, menghargai kandungan anda dan mahu melihat lagi kandungan anda dengan tema yang sama pada masa hadapan. Ini yang kita mahukan. Oleh itu, sentiasa hasilkan kandungan yang releven untuk pengikut-pengikut anda.

5. Mengikuti trend

Di TikTok terdapat banyak kandungan yang menjadi trend seperti video-video bercorak cabaran dan juga kolaborasi serta duet. Terlibat dengan trend akan membuatkan kandungan anda ‘melalui’ paparan utama pengguna lain dengan lebih mudah.

Oleh itu, guna kesempatan trend yang sedang hangat untuk menghasilkan kandungan pembelajaran yang bersesuaian mengikuti tema atau kandungan yang sedang trending.

6. Interaksi

Jumlah masa serta interaksi anda menggunakan platform TikTok juga memberi kesan kepada algoritma Tiktok untuk mempromosi kandungan anda kepada lebih ramai.

Oleh itu, sentiasa menggunakan aplikasi TikTok dengan memberi satu ‘like’ kepada video yang disukai serta meninggalkan komen bagi video-video yang menarik. Jangan lupa untuk melayani juga komen-komen yang ditinggalkan pada video-video anda.

Ada lagi tips tapi cukuplah setakat 6 sahaja. Nanti kena kecam pulak. Tik Tok Cikgu Siber pun sendu, ada hati nak ajar orang untuk tingkatkan tontonan, haha. Apapun semoga perkongsian ini bermanfaat.

Jangan lupa follows juga TikTok Cikgu Siber ya di https://www.tiktok.com/@cikgusiber

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.