Teknologi AR (Augmented Reality) dan potensinya dalam dunia pendidikan

Apple mengumumkan pengambil-alihan sebuah syarikat memfokuskan kepada teknologi Augmented Reality (AR) dari Jerman, iaitu Metaio dengan nilai yang masih belum diumumkan.

Perkara ini begitu menarik sekali memandangkan Apple yang mana merupakan syarikat paling bernilai dunia turut memberi fokus kepada dunia interakviti masa depan ini.

Pembelian ini sudah tentu akan membawakan kita dengan penawaran-penawaran aplikasi baru dengan lebih pantas.

Apa itu Augmented Reality (AR)? Mungkin anda pernah melihat iklan oleh Proton suatu masa dahulu. Dalam usaha mempromosikan Proton Preve mereka menggunakan teknologi AR untuk pengguna mendapatkan maklumat mengenai produk.

Saya menjangkakan teknologi ini akan digunakan secara meluas dalam perniagaan untuk memudahkan proses mengkatalog produk. Ia juga akan menjadikan  dunia permainan suatu yang lebih menyeronokkan.

Selain tujuan diatas, saya melihat teknologi ini dapat diadaptasikan dengan baik untuk tujuan pendidikan.

Bayangkanlah dengan menggunakan teknologi kamera dan sensor peranti pintar anda, anda dapat perolehi sejumlah informasi pada masa nyata. Buku teks bukan lagi rujukan yang membosankan lagi selepas ini.

Sebagai contoh, untuk mengenali seekor mamalia tertentu, anda hanya perlu menghalakan kamera anda pada objek dan infomasi mengenai mamalia tersebut akan dipaparkan.

Ianya akan memaparkan pelbagai maklumat mengenai setiap tubuh badan mamalia tersebut termasuklah melihat stuktur rangkanya secara terus.

Untuk matapelajaran sejarah juga boleh dimanfaatkan dengan baik. Contohnya, sewaktu anda melawati tempat tempat bersejarah.

Dengan menghalakan kamera anda pada kompleks bersejarah tersebut anda akan dibawa mesin masa ke dunia lampau dengan paparan kegemilangan tempat tersebut pada masa dahulu.

Bayangkan anak anda dapat melihat sang raja di singgahsana, di kiri dan kanan terdapat para pembesar sedang berbincang sesama mereka.

Duduk di sebelah kanan, seorang laksamana bernama Hang Tuah segak berbusana berbicara masalah negara. Semuanya dipaparkan secara visual secara 3 dimensi.

Manipulasi kamera menyaksikan pelbagai inovasi baru diperkenalkan sebelum ini. Kita telah menyaksikan Google Translate mengintergrasikan teknologi Word Lens ke dalam aplikasinya untuk memberikan terjemahan terus pada paparan rakaman kamera.

Kita juga menyaksikan bagaimana Photomath daripada MICROblink.com  menggunakan teknologi kamera untuk menyelesaikan masalah matematik.

Augmented Reality (AR) pula dilihat sebagai satu inovasi baru yang bakal memeriahkan arena teknologi peranti pintar. Saya menjangkakan teknologi yang masih lagi baru ini bakal matang dalam 4 tahun mendatang dan aplikasinya dalam dunia pendidikan akan menjadi fenomena selepas itu.

Intergrasi teknologi AR dengan peranti Virtual Reality (VR) boleh pakai juga akan menjadikan teknologi ini lebih menarik.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.