[Throwback] “Tidak akak, depa ni semua budak-budak kampung ja …”

Masih segar dalam ingatan apabila saya bersama dua rakan guru membimbing sekumpulan pelajar untuk mewakili negeri ke satu pertandingan projek inovasi kelab dan persatuan. Kami membawakan projek pembangunan satu inovasi sistem pembelajaran. Ketika tu tahun 2014 di sekolah lama saya sebelum bertukar ke MCKK.

Pentandingan ini agak mencabar. Ianya bukan pertandingan inovasi biasa. Peserta perlu menunjukkan proses penghasilan produk secara sistematik menerusi projek dalam jangka masa yang panjang. Kami perlu bertanding di peringkat negeri dan alhamdulillah terpilih mewakili negeri ke peringkat kebangsaan.

Segala idea dikerah untuk menjayakan misi ini menggunakan dana khas inovasi RM1,700 kalau tak silap yang diturunkan kepada semua sekolah satu Malaysia. Untuk persembahan projek, kami tidak memilih gaya santai seperti kebanyakan peserta. Sedikit kelainan ditampilkan.

Gaya yang dipersembahkan mempunyai tona, kepelbagaian intonasi serta sedikit suntikan semangat dalam penyampaian. Sedikit pengalaman yang dibelajari semasa saya menyertai SIFE (kini ENACTUS) mewakili USM dahulu dikongsi.

Setelah selesai giliran kami membuat persembahan berkumpulan, seorang guru entah dari mana datang menyapa saya. Beliau begitu berminat dengan stail persembahan pelajar-pelajar ini.

Sekolah cikgu mesti sekolah budak-budak elit kan” terpancul pertanyaan dari mulut beliau. Dalam hati dok pikiq macam mana nak habaq ni. Sekolah kami sekolah harian biasa sahaja, ‘terperuk’ kira-kira 25 km dari pekan Kuala Kangsar. Orang asli pun ada.

Spontan saya menjawab “Tidak akak, depa ni semua budak-budak kampung aja..” ” Tapi depa ni begitu berbakat dan bersemangat. Dengan bimbingan yang betul, depa boleh buat“.

Oh! bagusnya depa ni, bla, bla bla …” meneruskan perbualan.

Untuk pertandingan ini, tidak terlintas dalam pemikiran untuk menang memandangkan para peserta sekolah lain hebat-hebat belaka. Apa yang penting, pelajar buat sebaik mungkin dengan kemahiran yang telah diterapkan. Memasuki final sudah menjadi kebanggaan.

Kami bertiga sebagai guru mentor amat berpuas hati dengan hasil usaha pelajar ini. Mereka amat yakin, terutamanya ketika sesi soal jawab. Begitu ‘selamba’ dengan jawapan yang jelas.

Saya melihat pertandingan ini amat penting untuk membina karektor pelajar. Namun, sayang sekali, pertandingan ini tidak diteruskan pada tahun-tahun seterusnya.

Haa, teringan nak tengok persembahan depa? Mari kita tengok ‘pelajar-pelajar elit’ SMK Sultan Tajul Ariffin, Manong, Perak. Bahagian akhir memang meremang bulu roma, haha.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.