[Throwback] “Baru budak sekolah dah ada paten. Hangpa rasa…”

Baru budak sekolah dah ada paten, dulu-dulu cikgu dok dengaq profesor-profesor kat U saja dok dapat paten, hangpa rasa…?” Gurauan saya kepada salah seorang pelajar apabila menerima kiriman emel daripada Perbadanan Harta Interlek Negara (MyIPO) mengatakan yang mana prototaip kami bakal disiarkan dalam laman paten dunia selama 18 bulan untuk semakan. Syukur, setelah tempoh ‘patent pending‘ tersebut tamat, saya diberitakan sijil paten telah dikeluarkan.

2017, tahun yang agak sibuk bagi saya di MCKK. Ini kerana satu projek inovasi digital berasaskan Internet of Things (IoT) yang diusahakan. Projek ini dirancang pada skala yang agak besar kerana mahu melibatkan lebih ramai pelajar. Saya agak bertuah kerana beberapa rakan menyumbang beberapa peralatan elektronik terpakai yang masih boleh digunakan. Mereka-mereka ini sangat ikhlas ingin membantu.

Sepanjang 2017, hampir RM2k juga duit sendiri digunakan untuk hal-hal latihan, belian peralatan, belanja budak dan sebagainya. Bukan sedikit bagi saya yang keluarga hanya bergantung pada satu sumber, tetapi segalanya berbaloi. Bukan tidak mahu menuntut segala kos daripada pihak sekolah, tetapi saya rasa biarlah saya mempunyai sedikit ‘saham akhirat’. Lagipun, pihak sekolah telah banyak mengeluarkan bajet untuk pengangkutan, pencetakan serta yuran penyertaan untuk pertandingan-pertandingan inovasi.

Alhamdulillah, 4 pingat emas, 1 perak dan terpilih sebagai finalis dalam 4 pertandingan peringkat kebangsaan serta antarabangsa. Bagi saya pencapaian terbaik projek ni apabila satu prototaip IoT yang dibangunkan telah berjaya dipatenkan. Terima kasih saya ucapkan kepada MyIPO kerana menyediakan dana khas untuk proses tersebut. Projek ini akhirnya telah terpilih sebagai ‘2017 Best Project’ pada malam Anugerah Kokurikulum MCKK (OSCAR ’17). Kejayaan yang amat manis.

iRISS atau nama penuhnya ‘Intelligent Real-time Integrated System for Sustanability‘ merupakan satu projek berasaskan IoT untuk tujuan pemantauan alam sekitar. Ia menggunakan 8 jenis penderia khas untuk memantau persekitaran dengan data dipancarkan terus secara masa nyata (real-time) ke pengkalan data awan lantas dipaparkan pada papan pemuka (dashboard) di web. Konsep terbukaan data menjadi nadi utama kepada projek ini.

Pelaksanaan projek ini, kami memilih satu kolam air panas semulajadi di Manong, Kuala Kangsar. Dikhabarkan tempat tersebut bakal dibangunkan secara komersial. Projek ini bakal memberi manfaat kepada pembuat dasar, pembangun, aktivis alam sekitar dan juga penduduk kampung kerana mereka boleh mengakses data yang dicerap secara terbuka menerusi laman web. Projek ini amat berpotensi untuk direplikasi untuk pelbagai bentuk tujuan seperti projek konservasi serta pengawalseliaan alam sekitar.

Untuk tujuan itu, pelajar bergelut dengan proses menghasilkan solusi reka bentuk prototaip, menyunting barisan-barisan kod aturcara yang kompleks, membuat penyambungan komponen elektronik, mengurusan bekalan kuasa pada peralatan elektronik, mengurusan data pada storan awan, menguji sistem, melengkapkan pelaporan dan sebagainya. Pelajar juga berkomunikasi dengan komuniti setempat untuk mengumpul data.

Kalau tak silap kira-kira 20 orang pelajar terlibat sama dalam projek ni dalam pelbagai bentuk sumbangan. Fokus saya sepanjang tahun adalah untuk melatih seberapa banyak pelajar dalam bidang inovasi digital seperti pengekodan dan data analitik. Pelajar juga dihantar ke makmal-makmal IoT milik rakan sepanjang cuti sekolah. Ada juga pelajar saya mendapat latihan terus daripada MDEC menerusi inisiatif #MyDigitalMaker. Dari projek ini juga saya dapat melihat potensi budak pada masa hadapan.

Selain itu, pelajar juga dilatih dalam pelbagai kemahiran pembentangan projek seperti ‘pitching‘, mereka bentuk media pembentangan, menghasilkan video dokumentari projek dan pelbagai lagi yang berkaitan. Projek ini lengkap dengan pelbagai elemen 21st Century Learning dari kolaborasi sehingga komunikasi, dari pemikiran kritis sehinggalah kreativiti. Ianya menjurus kepada prospek dan potensi IR4.0. Satu pendedahan yang terkini dan bernilai buat pelajar.

Perjalanan projek penuh berliku. Apa yang paling saya sukakan adalah cabaran yang wujud sepanjang projek sepertimana keadaan sebenar alam pekerjaan. Sepanjang tahun banyak perkara berlaku. Baik yang positif dan yang negatif. Kemunculan perkara-perkara negatif bagi saya amat baik untuk pelajar memahami realiti kehidupan lantas dapat memuhasabah untuk menjadi manusia yang lebih baik. Itulah sebahagian objektif projek ini.

Ini secebis kisah saya. Saya tahu ramai guru-guru diluar sana yang berusaha dalam pelbagai bidang. Dari pertandingan drama hinggalah pertandingan robotik. Guru sanggup berkorban masa dan wang ringgit untuk membentuk para pelajar. Mengendali sendiri pembelajaran berasaskan projek sebegini, saya amat menghargai perjuangan para guru. Setiap kali mereka memuat naik gambar di Facebook mengenai kejayaan pelajar mereka, saya dapat bayangkan usaha yang bukan mudah disebalik tabir.

Untuk sesuatu pertandingan, tak semestinya tidak menang itu bermakna anda gagal. Bagi saya apa yang penting adalah proses bimbingan dan kemenjadian pelajar. Kemenangan itu hanya satu bonus. Anda sebenarnya telah menang apabila anda memilih untuk menyahut cabaran yang rakan-rakan guru lain tidak mahu lakukan. Guru-guru Malaysia, anda semua memang hebat. #KitaSemuaAdiwira

Nota: Nak tengok macam mana rupa kolam air panas semulajadi kat Kuala Kangsar tu boleh lihat video kat bawah. Memang menakjubkan. 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.