[Throwback] Cerita orang asli, dron 6K dan SEMESTA Studio

Manong merupakan tempat kegemaran sutradara Mamat Khalid untuk melakukan pengambaran dalam kebanyakkan karyanya. ‘Hantu Kak Limah’ mengambil suasana kampung di mukim ini sebagai latar.

Kawasan semulajadinya yang indah dan pelbagai menjadikan tempat ini sangat unik. Terdapat kawasan bendang, jeram sungai, padang ragut, kolam air panas semulajadi, jeti pendaratan ikan sungai, rumah-rumah kampung tradisional dan sebagainya.

Banyak hikmahnya saya ditempatkan di sana. SMK Sultan Tajul Ariffin yang terletak 25 kilometer jaraknya dari bandar diraja Kuala Kangsar menempatkan kira-kira 600 pelajar yang hampir 10% daripadanya adalah pelajar orang asli.

Cita-cita

Sewaktu tingkatan 6, saya menetapkan cita-cita saya untuk menjadi seorang pembuat filem. Mendengar nasihat ibu, saya meneruskan pengajian dalam bidang pendidikan di Universiti Sains Malaysia pada Jun 2006.

Saya memilih jurusan Pendidikan Multimedia Interaktif setelah mengetahui terdapat kursus animasi dan video ditawarkan sebagai kursus elektif. Menjadi guru dan dalam masa yang sama mengekalkan minat merupakan satu kepuasan.

Ditempatkan di sekolah menengah harian di Manong, Kuala Kangsar, Perak pada November 2010 merupakan satu perancangan Allah yang terbaik bagi saya. Alhamdulillah, doa ibu sentiasa bersama.

Di sana saya bertemu dengan Cikgu Halimhusairy yang kebetulan mempunyai minat serta peralatan dalam bidang fotografi. Kami menubuhkan pasukan videografi dengan label ‘SEMESTA Studio’.

SEMESTA adalah singkatan untuk nama sekolah. Projek pertama kami adalah penerbitan video tayangan khas sempena majlis persaraan guru. Rasa bersalah apabila melihat ramai rakan guru mengalirkan air mata setelah tayangan 😋.

Fokus utama pasukan adalah untuk melatih pelajar untuk menghasilkan tayangan video untuk sebarang acara rasmi sekolah serta melakukan rakaman fotograf untuk sekolah. Sebelum ini, tugasan-tugasan tersebut guru lakukan.

Orang Asli & Kemenangan Pembakar Semangat

Seterusnya tahun kedua, kami giat menyertai pertandingan. Pertandingan pertama disertai ialah cabaran ‘ICT Duniaku’ yang menawarkan hadiah yang sangat lumayan. Tempat pertama bakal menerima habuan RM15,000.

Kami mengumpul pelajar-pelajar yang berbakat. Terdapat 3 orang asli menyertai pasukan ini. Dalam pembikinan sesebuah filem pendek, pelajar-pelajar yang betul-betul memberi komitmen diperlukan.

Namun, pasukan ini tiada pengetahuan mengenai proses pembikinan filem. Inilah peranan kami untuk memberi tunjuk ajar dari proses penghasilan ‘papan cerita’, penulisan skrip, proses rakaman sehinggalah suntingan.

Alhamdulillah, kami memenangi tempat pertama. RM15 ribu jumlah yang amat besar. RM5 ribu diberikan kepada sekolah untuk memasang 2 buah projektor bagi tujuan tayangan multimedia di dewan.

Manakala RM10 ribu digunakan untuk membeli peralatan rakaman sendiri seperti kemera DSLR, kit/rig videografi, komputer multimedia dan sebagainya. Aset ini akan memacu SEMESTA Studio terus kehadapan.

Lebihan diberikan kepada pelajar sebagai saguhati dan keraian. Masih ingat lagi bertapa seronoknya pelajar-pelajar orang asli ini apabila pertama kali dibawa ke taman tema air Tambun Lost World, Ipoh.

Kejayaan SEMESTA Studio dipaparkan dalam lima sisipan akhbar.

Kelab Videografi & Fotografi Sekolah

Tahun seterusnya, perlahan-lahan saya bersama Cikgu Halimhusairy merancang stategi mewujudkan kelab yang diberi nama ‘Kelab Videografi & Fotografi SEMESTA Studio’.

Ianya didorong oleh penawaran pelbagai pertandingan-pertandingan filem pendek yang tumbuh bagai cendawan. Kemahiran ini juga harus dikembangkan dengan lebih sistematik kepada lebih ramai pelajar.

Penyertaan Cikgu Hanif dalam pasukan sebagai mentor menjadikan pasukan lebih mantap dengan penerokai idea-idea baharu. Kami bertiga mempunyai kepakaran masing-masing yang unik.

Untuk mewujudkan kelab yang berdaftar dengan unit kokurikulum, kami tidak mempunyai masalah untuk mengumpul keahlian kerana sejak kemenangan pertama, SEMESTA Studio mencetuskan fenomena tersendiri.

Ia juga dibantu dengan minat yang telah sedia tertanam apabila ramai penggiat filem memilih Manong sebagai lokasi pengambaran. Iklim ini telah membentuk tarikan kepada aktiviti perfileman tanpa disedari.

Keyakinan Diri & Mengorak langkah

Banyak juga pertandingan disertai sejak 2012. Saya menggalakkan pelajar menyertai pertandingan-pertandingan filem pendek kerana dengan ini mereka dapat menguji serta menyerlah tahap kreativiti mereka.

Salah satu juri dalam pertandingan yang disertai memberitahu kami bahawa ketua juri ketika itu (iaitu Mamat Khalid), memberitahu beliau akan memenangkan kami jika kami memasuki kategori terbuka yang menawarkan hadiah RM15,000.

Dalam pertandingan itu, kami hanya memasuki kategori sekolah kerana tidak yakin dengan untuk bersaing dengan studio-studio bebas yang kebanyakan mempunyai peralatan yang canggih.

Alhamdulillah, kami memperolehi tempat pertama kategori sekolah dengan ganjaran 10 kali lebih rendah dari kategori terbuka. Selain ganjaran wang tunai, pelajar juga membawa pulang 8 unit iPad.

Sejak peristiwa itu, pasukan mula membina keyakinan diri. Kami menggalakkan pelajar menerokai idea-idea baharu. Pelajar mula menerokai teknik kesan khas yang kemudiannya diaplikasi dalam penerbitan.

Kemunculan pelbagai produksi bebas oleh pelajar

Selain dua pasukan rasmi dari kelab, wujud lebih kurang 6 pasukan penerbitan lain yang diusahakan oleh pelajar sendiri. Yang paling saya ingat adalah De Paramecium, F&Z Production dan CyberClone Studio.

Lebih membanggakan, mereka mampu menghasilkan karya sendiri dan ada antara mereka yang telah memenangi hadiah khas dalam pertandingan filem pendek kategori terbuka.

Saya juga dimaklumkan kebanyakkan mereka yang kini lepasan sekolah memilih menyambung pengajian dalam bidang kreatif dan multimedia.

Dron & Pembinaan Studio Sebenar

SEMESTA Studio telah memasuki tahun ke-4. Apabila wujudnya begitu banyak peralatan serta prob, kami memerlukan tempat penyimpanan barang serta ‘workspace’ untuk berkarya.

Maka, dengan bantuan koperasi sekolah kami membina sendiri sebuah studio di sebuah bilik yang tidak lagi digunakan. Selama 2 minggu pelajar bertukus lumus menyiapkan studio tersebut.

Dibantu oleh Cikgu Azni, cikgu PSV yang begitu banyak memberi idea. Tidak lupa juga kepada tuan Pengetua, Hj Shamsuddin dan juga guru kanan vokasional Cikgu Mat Khaili yang banyak memberi dorongan dan sokongan.

Transformasi studio dari bilik darjah yang tidak digunakan. Pelajar memberi komitmen yang sangat luarbiasa.
YB Dato’ Wan Muhammad Khair-il Anuar merasmikan SEMESTA Studio.

Pada Mei 2015, tibalah acara Perasmian Semesta Studio oleh Allayarham YB Dato’ Wan Muhammad Khair-il Anuar, Ahli Parlimen Kuala Kangsar. Pelajar terlibat sepenuhnya dalam aktiviti pembentangan dan sebagainya.

YB begitu teruja dengan pencapaian kelab lantas menghadiahkan sebuah dron rakaman profesional Dji Phantom 3 Advanced kepada kelab yang berharga kira-kira RM6,000. Alhamdulillah.

Menurut Cikgu Hanif, kebetulan pada hari kejadian terhempasnya helikopter AS350 yang dinaiki beliau, dron yang dihadiahkan beliau juga terhempas beberapa jam sebelum kejadian tersebut akibat masalah teknikal.

Takziah kepada keluarga beliau. Sokongan YB kepada pembangunan kelab dari segi dana dan moral yang diberikan amat kami sanjung tinggi. Terima kasih juga kepada penghulu En Zuraimi (kini ADUN Manong) atas usaha ini.

Dron milik SEMESTA Studio melakukan penerbangan sulong. Idea asal pembelian dron ini adalah untuk menjana pendapatan kelab dengan mengambil upah merakam panorama dari aras tinggi.

Peristiwa yang tak dapat dilupakan apabila menjelang sambutan Jubli Emas sekolah, SEMESTA Studio diberi peranan yang besar untuk menghasilkan video montaj serta tayangan khas acara makan malam alumni.

‘Band 6’

Hati terasa berat untuk meninggalkan pelajar-pelajar ini apabila bertukar ke MCKK pada 2016. Studio yang dibina masih lagi belum lengkap dan saya yakin projek Semesta Studio mampu diteruskan oleh dua rakan saya.

Menyertai majlis penyampaian hadiah Liga Remaja Kreatif. Bersama Cikgu Halimhusairy (kiri). Saya demam waktu ni.

Tahun pertama di MCKK, saya menganjurkan program latihan bersama yang melibatkan tiga buah sekolah. Kami menjalankan bengkel asas fotografi dikendali oleh jurugambar pemenang anugerah.

Masih ingat lagi apabila seorang pelajar MCKK menyatakan betapa kagumnya dengan kemahiran yang dimiliki pelajar-pelajar SEMESTA Studio.

Mereka dilihat amat yakin serta mampu membimbing peserta yang lain sepanjang bengkel berlangsung. Kalau dalam pentaksiran bilik darjah, bolehlah dikatakan mereka ini telah mencapai tahap 6 (Band 6).

Lima tahun terawal sebagai guru menjadi kenangan yang terindah di bumi SEMESTA. Sehingga kini, alumni SEMESTA Studio masih lagi berhubung rapat dengan saya, bertanyakan khabar.

Dimaklumkan bilik studio yang dibangunkan 3 tahun lalu telah ditukar peranan kembali kepada bilik darjah atas faktor keperluan pihak sekolah bagi mendapatkan bilik tambahan.

Pembangunan Bakat & Kreativiti Pelajar

Diri pelajar penuh dengan potensi. Tugas kita sebagai pendidik adalah berusaha mencari jalan bagaimana untuk mengilap agar ianya terserlah.

Sebenarnya, melatih pelajar dalam bidang penerbitan video kreatif bukanlah untuk menyediakan mereka untuk menjadi orang filem. Ianya adalah untuk melatih mereka dengan skil yang diperlukan untuk menempuhi abad ke-21.

Tak kira bidang apa yang mereka ceburi, mereka harus tahu betapa pentingnya kreativiti untuk mewujudkan kesedaran (awareness) lantas memberi impak yang besar kepada masyarakat.

Setelah hampir 2 tahun meninggalkan sekolah (kerana terlibat dalam program cuti belajar), kini seakan-akan wujud kerinduan untuk kembali membimbing pelajar.

Siapa sangka ‘sekolah kampung’ mampu meraih pencapaian yang gemilang. Pelajar SEMESTA Studio bersedia untuk acara penerimaan hadiah.
Ikuti Cg Razif @ Cg Siber di Instagram

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.