Panduan dan tips pemilihan iPad untuk para pendidik – Bahagian 1

Semalam saya terlibat dalam satu sesi sembang santai interaktif bersama Apple Teacher Community (ATC) menerusi aplikasi ‘meeting’. Tajuk yang dipilih adalah “iPad apa yang terbaik untuk saya?“.

Terdapat kira-kira 60 guru yang berminat untuk mengetahui apakah model iPad yang sesuai untuk mereka miliki pada tahun 2020. Ini kerana, iPad terdiri daripada pelbagai model dengan kemampuan serta ciri yang berbeza.

Terima kasih kepada Cikgu El yang turut sama menjayakan sesi sembang santai ini.

Selain cadangan model iPad, terdapat juga beberapa persoalan penting yang saya jelaskan dalam bahagian ke-2 nanti. Persoalan-persoalan ini kebanyakkan saya kumpulkan daripada pertanyaan para perserta bengkel saya yang lalu.

Cadangan iPad terbaik untuk anda

Sepertimana yang saya tegaskan dalam sesi semalam, pandangan yang diberikan berdasarkan pemerhatian saya sebagai pengguna tegar iPad sejak 2016 serta pengalaman sebagai jurulatih bertauliah Apple untuk pendidikan.

Pandangan individu lain mungkin berbeza. Jadi, mari kita lihat enam golongan pendidik dan apa model iPad yang sesuai untuk mereka.

Golongan 1 – Pendidik Daya Usaha

Pendidik yang memerlukan peranti untuk melakukan anotasi atau contengan / lakaran secara digital bagi pengajaran. Masih mengharapkan komputer dekstop untuk kerja-kerja produktiviti lain. Mungkin anda cikgu matematik, cikgu sains sosial, cikgu bahasa dan sebagainya.

Cadangan model:

  1. iPad Air (2019) bersama  Pencil (1st gen)
  2. iPad Pro 10.5 (2017)*  bersama  Pencil (1st gen)
  3. iPad Mini (2019) bersama  Pencil (1st gen)
  4. iPad (2019) bersama  Pencil (1st gen)
Ada yang gemarkan peranti bersaiz kompak. iPad mini (2019) kini menyokong  Pencil.

Golongan 2 – Pendidik Kreatif

Pendidik yang suka melukis, melakar, berkreativiti menerusi penghasilan muzik dan video serta menghasilkan bahan pengajaran kreatif untuk digunakan dalam pengajaran. Mungkin anda juga seorang guru seni visual, cikgu muzik, cikgu multimedia, cikgu reka bentuk, cikgu grafik, cikgu lukisan kejuruteraan dan sebagainya.

Cadangan model:

  1. iPad Pro (2020) bersama  Pencil (2nd gen)
  2. iPad Pro (2018) bersama  Pencil (2nd gen)
  3. iPad Pro 10.5 (2017)* bersama  Pencil (1st gen)

Golongan 3 – Pendidik Inovatif

Pendidik yang menggunakan bahan permodelan digital untuk simulasi seperti model 3D, CAD, AR dan sebagainya untuk pengajaran. Kebanyakkan mengharapkan kepada app-app permodelan tertentu yang dikhaskan untuk bidang masing-masing. Pendidik ini kebanyakkan terlibat dalam bidang reka bentuk, kesihatan dan kejuruteraan.

Cadangan model:

  1. iPad Pro (2020) bersama  Pencil (2nd gen)
  2. iPad Pro (2018) bersama  Pencil (2nd gen)
iPad model tertinggi ini menawarkan kamera wide-angle serta sistem imbasan LiDAR untuk fungsi AR yang lebih baik.

Golongan 4 – Pendidik Rintis

Bakal pendidik yang berminat menerokai dunia baharu pendidikan menerusi aplikasi teknologi digital. Masih menuntut di IPT dalam bidang pendidikan atau sedang menunggu penempatan sekolah atau pun baru tahun pertama dalam bidang pendidikan (belum sah jawatan). Golongan ini masih belum mempunyai pendapatan tetap atau kewangan masih belum stabil.

Cadangan model:

  1. iPad Pro 10.5 * (2017) bersama  Pencil (1st gen)
  2. iPad (2019) bersama  Pencil (1st gen)

Golongan 5 – Pendidik Wawasan

Pendidik yang mengikuti perkembangan penggunaan iPad untuk pendidikan tetapi mahu mendapatkan iPad bukan untuk dirinya sendiri. Pendidik ini menyedari akan potensi sebenar iPad seterusnya mempunyai kemampuan untuk membeli iPad untuk individu dalam organisasinya, atau untuk anak-anaknya sendiri.

Cadangan model:

  1. iPad Air (2019) bersama  Pencil (1st gen)
  2. iPad Pro (2018) bersama  Pencil (2nd gen)
  3. iPad (2019) bersama  Pencil (1st gen)
iPad Air berbeza dengan iPad dari segi kuasa pemprosesan serta teknologi skrin yang lebih baik.

Golongan 6 – Pendidik Transformatif

Pendidik yang sukakan cabaran baharu dalam kerjaya, sentiasa memandang kehadapan serta terbuka untuk menerima perubahan. Telah lama berkhidmat dan mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Ingin bermigrasi sepenuhnya daripada penggunaan komputer desktop kepada iPad sepenuhnya.

Cadangan model:

  1. iPad Pro (2020) bersama  Pencil (2nd gen) dan  Magic Keyboard

Nota: ( * ) = Merujuk kepada model iPad ini tiada lagi dijual secara rasmi dalam talian atau menerusi jurujual bertauliah. Ianya boleh didapati dari pasaran peranti terpakai.

Baik, daripada senarai yang saya berikan, anda termasuk dalam golongan yang mana? Tapi, tunggu dahulu. Nantikan bahagian ke-2 dan ke-3 untuk panduan dan tips seterusnya.

Panduan dan tips pemilihan iPad untuk para pendidik – Bahagian 2

Cikgu Razif merupakan pendidik era digital yang gemar berkongsi sumber-sumber pendidikan. Ikuti beliau di IG dengan klik pada gambar beliau dibawah.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.