Panduan dan tips pemilihan iPad untuk para pendidik – Bahagian 2

Dalam bahagian pertama, saya menyenaraikan enam golongan pendidik dengan cadangan model iPad apa yang sesuai untuk mereka. Ini kerana, iPad sendiri mempunyai banyak pilihan model dengan kemampuan serta ciri-ciri yang berbeza.

Seterusnya, dalam bahagian ke-2 ini, saya akan menjawab persoalan-persoalan anda mengenai pembelian iPad.

Panduan dan tips pemilihan iPad untuk para pendidik – Bahagian 1

14 persoalan-persoalan penting yang berkaitan dengan pembelian iPad

Sebagai seorang yang aktif dalam komuniti pendidik yang bersama-sama beberapa rakan lagi menggerakan komuniti pengguna Apple untuk pendidikan, saya dihujani dengan pelbagai pertanyaan.

Jadi, ayuh teruskan pembacaan untuk mengetahui jawapan saya bagi persoalan-persoalan yang telah saya kumpulkan.

1. Apa bezanya iPad, iPad mini, iPad Air dan iPad Pro?

iPad menjenamakan iPad permulaan dengan iPad, iPad pertengahan dengan iPad Air dan iPad tertinggi dengan iPad Pro. iPad mini pula merupakan ‘iPad Air dalam saiz yang kompak’.

Setiap barisan iPad disasarkan kepada kumpulan yang berbeza. Dalam pendidikan, saya melihat iPad dan iPad Air disasarkan kepada pelajar, manakala iPad Pro disasarkan kepada golongan profesional seperti para pensyarah, guru, penyelidik, tutor dan sebagainya.

2. iPad (2019) dengan storan 32GB atau 128GB?

Sejujurnya, untuk menggunakan iPad untuk kreativiti, storan 32GB tidak mencukupi. Saya berpendapat, saiz storan 32 GB ini hanya sesuai untuk kegunaan institusi pendidikan secara managed /shared iPad, bukan untuk kegunaan personal.

Oleh itu, bagi menyokong app-app kreatif yang kebanyakkan kini  hadir dalam saiz pemasangan yang besar, serta perlu mengurus fail media yang besar juga, dapatkan sahaja iPad dengan kapasiti 128GB. Tetapi, jika sudah terbeli model dengan storan 32GB ini, jangan lah risau.

Anda boleh mengatasi masalah storan yang kecil dengan disiplin membuang fail video yang tidak digunakan, menghidupkan fungsi ‘Offload Unused Apps‘ untuk sistem secara automatik menyahpasang sementara app yang jarang digunakan serta melanggan storan iCloud tambahan.

3. Adakah iPad dengan saiz storan 64GB mencukupi?

Storan 64GB merupakan saiz permulaan bagi iPad mini (2019), iPad Air (2019) dan iPad Pro (2018). Manakala, untuk iPad (2019) ianya bermula dengan 32GB.

Nakalnya strategi Apple, sebelum model Pro 2020 (kecuali iPad Pro model 2018), mereka tidak menawarkan ‘saiz pertengahan’. Sebagai contoh, iPad Mini (2019) dan iPad Air (2019) menawarkan saiz 64GB untuk permulaan dan 256GB untuk storan tertinggi. Tiada saiz pertengahan 128GB ditawarkan. Manakala iPad (2019) saiz 32GB dan 128GB sahaja, tiada 64GB.

Cukup atau tidak saiz storan 64GB ini?

Berdasarkan pengalaman peribadi dan pandangan rakan jurulatih lain, saiz 64GB adalah mencukupi jika anda bukan pengguna yang suka merakam dan menyunting video berdefinisi tinggi (HD 60fps/4K), tidak gemar memuat turun fail filem/video menerusi app hiburan serta bukan pula ‘kaki gamer‘.

Sebenarnya, masalah storan yang tidak mencukupi dapat diatasi dengan anda melanggan storan awan iCloud untuk anda menyimpan fail gambar serta video yang boleh ditetapkan secara automatik. Untuk hidup aman damai dengan simpanan awan, liputan Internet anda perlu bagus.

4. iPad Air atau iPad Pro?

Jika anda merasakan iPad (2019) dengan cip A10 Fusion terlalu perlahan, anda sudah tentu memikirkan versi iPad yang lebih tinggi iaitu sama ada iPad Air (2018) dengan cip A12 Bionic atau iPad Pro (2018, 2020) dengan A12X / A12Z Bionic.

iPad Air atau Pro? Bagi saya, jika anda rujuk semula kepada catatan saya pada bahagian 1, ianya bergantung kepada keperluan anda dan perkara yang paling penting adalah kemampuan kewangan anda.

Jika anda bertanya saya tanpa saya mengetahui latar belakang anda? Jawapannya, sudah tentu ianya sebuah iPad Pro. Video dibawah merupakan video promosi bagi iPad Pro yang baru dilancarkan pada Mac 2020.

5. Apakah kelebihan iPad Pro?

iPad Pro menawarkan cip pemprosesan siri X/Z yang didedikasikan khas untuknya memberi kuasa tambahan untuk kerja-kerja yang lebih kompleks seperti pemodelan 3D, CAD dan AR dengan teras pemprosesan tambahan.

Selain itu, RAM sehingga 6GB bagi iPad Pro (2020) adalah satu kali ganda lebih besar daripada iPad (2019) dan iPad Air (2019). Saiz RAM yang besar memberi kelebihan kepada kerja-kerja berbilang tugasan.

Sudah tentu perkara yang paling utama adalah teknologi skrin 120Mhz yang dikenali sebagai ProMotion. Ia memberikan kelancaran dan ketepatan yang jitu apabila anda melakar menggunakan  Pencil.

Satu lagi kelebihan iPad Pro model 2018 dan 2020 adalah penggunakan sistem keselamatan imbasan wajah Face ID sepertimana iPhone. Sistem Face ID juga boleh digunakan untuk kreativiti apabila ia boleh mengaktifkan fungsi Animoji pada iMessage dan Clips.

6. Adakah iPad mini (2019) sesuai untuk PdPc?

iPad mini (2019) bersaiz 7.9 inci serta mempunyai kuasa pemprosesan yang sama dengan iPad Air (2019) iaitu A12 Bionic. Ianya juga menyokong penggunaan  Pencil. Oleh itu, walaupun kecil, harganya sedikit mahal berbanding iPad (2019).

Jika anda guru serikandi negara, iPad ini sangat ideal untuk dimuatkan kedalam beg tangan anda. Ia mudah dicapai dan dibawa ke mana-mana. Namun, kelemahan adalah pada baterinya yang agak kecil berbanding dengan iPad model lain. Jadi, sila cas penuh dahulu sebelum ke sekolah ya.

Adakah saiz ini sesuai untuk kegunaan PdPc? Ianya terpulang kepada keselesaan anda. Cuba dahalu set demo dengan berkunjung ke kedai Switch atau Machines. Video dibawah merupakan ulasan ringkas mengenai iPad mini (2019) atau dikenali juga sebagai iPad mini 5.

7. Apakah saiz skrin iPad Pro (2018, 2020) yang sesuai untuk saya?

iPad Pro (2018,2020) menawarkan dua model, iaitu model dengan saiz 11 inci dan 12.9 inci. Untuk mengetahui saiz yang sesuai, saya cadangkan anda berkunjung dahulu ke mana-mana kedai fizikal seperti Switch atau Machines untuk mencubanya sendiri.

Bagi pendidikan yang serius mahu menggunakan iPad untuk kerja-kerja lakaran dan grafik, saya lebih sarankan saiz paparan yang lebih besar. Namun, saiz yang besar dan sedikit berat membuatkan anda sedikit sukar untuk membawanya kemana-mana.

8. iPad model Wi-Fi atau Selular?

Soalan ini sering ditanya kepada saya. Untuk pertimbangan, ia sebenarnya bergantung kepada kemudahan Internet dirumah serta lokasi dimana anda berkhidmat.

Jika di rumah dan di sekolah rangkaian Internet anda cemerlang, cukuplah sekadar model Wi-Fi sahaja. Jika anda mempunyai modal yang lebih, memilih versi selular memberi satu kelebihan kepada anda untuk mengakses Internet dimana-mana sahaja.

Perlu diingat, bagi model selular, selain perbezaan besar harga pembelian, anda juga perlu membayar bil telco bagi mengaktifkan data Internet anda setiap bulan.

9. Mengapa  Pencil?

Bagi saya, iPad adalah sebuah iPad jika anda menggunakan bersamanya sebatang  Pencil. Ia memberi pengalaman yang amat luar biasa (seumpama pensil sebenar) dalam proses lakaran digital pada app khusus untuk kreativiti.

Anda akan lebih merasai kenikmatannya apabila menggunakan  Pencil pada iPad dengan teknologi ProMotion seperti iPad Pro model 2016, 2017,2018 dan 2020. Jika anda seorang artis atau mempunyai bakat melukis,  Pencil bakal menjadi sahabat baik anda.

Video dibawah merupakan lakaran artis menggunakan iPad Pro (2016) generasi pertama dan  Pencil generasi pertama.

10. Bagaimana mengetahui iPad saya disokong oleh  Pencil?

 Pencil telah mencapai generasi ke-2 dengan beberapa ciri tambahan seperti pengecasan secara magnetik serta sokongan penderia sentuhan pada batangnya untuk menukar alat lakaran. Generasi terkini ini hanya menyokong iPad Pro (2018) dan iPad Pro (2020) sahaja.

Namun begitu,  Pencil generasi pertama masih lagi berprestasi tinggi, dijual untuk menyokong iPad terkini model yang lain. Berikut merupakan iPad dengan sokongan alat kreatif ini. iPad selain yang disenaraikan, anda hanya boleh menngunakan stylus biasa.

  • Pencil (1st Gen) – Pad Air (2019), iPad mini (2019), iPad (2018,2019) dan iPad Pro (2016,2017)
  • Pencil (2nd Gen) – iPad Pro (2018) dan iPad Pro (2020)
Teknologi pada  Pencil belum ada pada mana-mana peranti berjenama lain.

11. Apakah papan kekunci terbaik untuk iPad?

Papan kekunci merupakan aksesori yang akan meningkatkan produktiviti anda jika anda ingin menaip dokumen menerusi aplikasi seperti MS Word, Notes atau Pages.

Fungsi Smart Connector pada semua barisan terkini iPad (kecuali iPad mini) membolehkan iPad dihubungkan dengan iPad secara terus tanpa perlu mengaktifkan fungsi Bluetooth.

Secara peribadi, saya tidak menyukai Keyboard yang dihasilkan oleh Apple. Saya rasa ramai pengulas teknologi senada dengan saya apabila mencalonkan barisan Keyboard daripada Logitech sebagai antara papan kekunci terbaik untuk iPad.

Walaupun agak tebal dan berat, Logitech menawarkan pengalaman menaip yang lebih baik dengan kualiti papan kekunci serta sokongan keyboard yang bercahaya (backlit) membolehkan saya menaip dalam keadaan yang kurang cahaya.

Butang pintasan yang memudahkan kehidupan. Ciri penting yang tiada pada papan kekunci oleh Apple.

Dengan pengumuman Apple memperkenalkan sokongan baharu cursor yang direkabentuk semula, banyak aksesori pihak ketiga dijangka bakal hadir dengan sokongan trackpack.

Seperti yang sebutkan tadi, saya tidak gemarkan papan kekunci keluaran Apple. Mungkinkah pendapat saya bertukar setelah mencuba  Magic Keyboard yang baru sahaja dilancarkan bersama iPad Pro (2020)?. Kita lihat nanti.

12. Apakah aksesori yang saya perlukan yang menyambung ke skrin atau projector?

Jika anda mahu memaparkan paparan iPad pada projektor atau paparan digital lain, anda boleh menggunakan dua kaedah berikut:

Menerusi sambungan berwayar

Menerusi sambungan tanpa wayar

  • Untuk sambungan tanpa wayar dari iPad sebuah Apple TV diperlukan.

13. iPad baharu, perlu ambil pelan perlindungan?

Jika anda membeli peranti menerusi gedung jurujual bertauliah Apple seperti Switch, mereka menawarkan pelan perlindungan peranti tambahan yang tersendiri selain waranti satu tahun Apple.

Switch’s Smart Protection Plan menawarkan pelindungan tambahan kepada kerosakan skrin akibat kemalangan atau kesilapan sendiri, kerosakan akibat air dan kecurian peranti untuk tempoh 1 tahun.

Kedai online Apple Store juga menawarkan pelan perlindungan diberi nama AppleCare Protection Plan. Ianya boleh dibeli dalam tempoh 12 bulan selepas pembelian produk. Antara yang ditawarkan:

  • perlindungan tambahan waranti sehingga 2 tahun.
  • keutamaan kepada perkhidmatan sokongan dari Apple.
  • pembaikan dan pengantian unit.
  • boleh merujuk kepada mana-mana pusat jurujual bertauliah Apple.

Harga bagi perlindungan tambahan ini adalah sekitar RM150 sehingga RM450 bergantung kepada jenis pelan. Bagi saya, bagi peranti yang berharga RM3,000 keatas dan anda bukan seorang pengguna yang cermat, pelan sebegini harus diberi perhatian.

14. iPad baharu atau terpakai?

Jika ditanya kepada saya, saya akan menjawab begini, “Kalau anda seorang yang berani mengambil risiko, angkat sahaja peranti terpakai, ianya sangat berbaloi“. Ya, sangat-sangat berbaloi.

Kelebihan peranti terpakai adalah nilai pada wang apabila anda mendapatkan pilihan iPad dengan prestasi yang tinggi pada harga yang rendah. Selalunya, penjual menjual satu set iPad bersama keyboard dan  Pencil.

Saya menjangkakan, jika PKP musim COVID-19 berlangsung sehingga 3 bulan lagi, banyak iPad (terutamanya iPad Pro) akan dilepaskan dalam pasaran peranti terpakai akibat tekanan kewangan yang dihadapi rakyat Malaysia.

Cumanya, dari segi risiko, peranti yang berusia lebih satu tahun tidak lagi tertakluk kepada waranti jika berlaku apa-apa kerosakan. Diingatkan kepada anda untuk sentiasa berjaga-jaga kepada penipuan jurujual atas talian yang seringkali menawarkan peranti iPad pada harga yang tak masuk akal.

15. Apakah model iPad terpakai yang paling berbaloi-baloi untuk anda miliki?

Saya meletakkan iPad Pro 10.5 keluaran tahun 2017 dengan kapasiti 256GB sebagai peranti terpakai yang paling berbaloi untuk anda miliki. Jika anda perhatikan, iPad Air (2019) secara tidak sedar adalah ‘versi turun taraf’ daripada iPad Pro ini.

Model ini menawarkan lebih kuasa tambahan apabila diperlukan dengan cip pemprosesan khas A10X Fusion. Cip ini jauh lebih baik daripada iPad (2019) yang mengunakan hanya cip A10 Fusion.

Ia juga menawarkan ciri tambahan yang jauh lebih baik daripada iPad Air (2019) seperti teknologi ProMotion, empat pembesar suara yang lantang serta sensor kamera yang lebih baik.

Dengan harga yang ditawarkan pada harga sekitar RM1,600 sehingga RM2,200 (bagi iPad sahaja), ia merupakan peranti yang masih lagi relevan untuk sekurang-kurangnya 4 tahun lagi.

Model ini hanya ditawarkan di pasaran barangan terpakai sahaja (terpakai atau refurbished). Tiada model baharu dijual. Video dibawah menunjukan pembandingan iPad dengan nilai terbaik antara iPad Pro 10.5 (2017) iPad Air (2019).

Jika anda mempunyai persoalan lain sila tinggalkan pada bahagian komen dan saya akan menjawab persoalan anda dengan mengemaskini catatan ini.

Tunggu, saya belum selesai lagi. Seterusnya, tunggu bahagian yang terakhir untuk beberapa tips tambahan. Sementara itu, sertai kumpulan guru pengguna Apple terbesar Malaysia di pautan ini.

Panduan dan tips pemilihan iPad untuk para pendidik – Bahagian 3 (terakhir)

Cikgu Razif merupakan pendidik era digital yang gemar berkongsi sumber-sumber pendidikan. Ikuti beliau di IG dengan klik pada gambar beliau dibawah.

 

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.