Panduan dan tips pemilihan iPad untuk para pendidik – Bahagian 3 (terakhir)

Akhirnya, misteri iPad bakal terungkai. Jadi, teruskan pembacaan anda untuk bahagian terakhir. Jika anda ketinggalan catatan yang lepas, anda boleh merujuk pada pautan dibawah.

Panduan dan tips pemilihan iPad untuk para pendidik – Bahagian 1

Panduan dan tips pemilihan iPad untuk para pendidik – Bahagian 2

Tips dan panduan tambahan

Jadi, untuk bahagian akhir, saya memberi fokus kepada beberapa tips pembelian agar anda dapat membuat pembelian yang tepat, sesuai dengan keperluan anda sebagai seorang pendidik abad ke-21.

1. Cadangan pembelian iPad berdasarkan kitar hayat

Macrumors.com merupakan satu portal rujukan no. 1 mengenai rumor atau khabar angin mengenai produk dan perkhidmatan Apple pada masa hadapan. Ketepatan maklumatnya sering menjadi rujukan semua peminat jenama Apple seluruh dunia.

Selain penyelidikan dari sumber dalaman / maklumat yang tertiris, laman portal ini menyediakan satu laman khas iaitu Macrumors Buyer’s Guide bagi memberi panduan kepada para pengguna agar cakna dengan kehadiran produk baharu.

Macrumors.com menyediakan panduan dengan saranan berdasarkan kitaran hayat sesebuah produk.

2. Pembandingan Model iPad di laman web Apple

Apple menyediakan satu laman khas untuk anda membandingkan model-model iPad agar mudah untuk anda membuat pilihan. Melalui fungsi ini, anda boleh memilih mana-mana iPad yang sedia dijual serta barisan-barisan iPad lama untuk dibandingkan.

Segala maklumat dipaparkan dari segi spesifikasi, sokongan aksesori serta harga bagi setiap model.

3. Pinjaman komputer kerajaan sehingga RM5,000

iPad merupakan item yang anda boleh dibeli dengan skim pinjaman komputer kerajaan. Anda boleh membeli iPad bersama aksesorinya dengan pembiayaan maksimum RM5,000.

4. Pelan ansuran mudah dan iPad bersama pelan data

Banyak tawaran pelan ansuran bulanan sebenarnya meliputi pembelian iPad dan aksesorinya. Pembelian menerusi pelan ini tidak akan membebankan poket anda.

Jika anda ke pusat jualan jurujual bertauliah Apple, anda boleh mendapatkan maklumat mengenai pelan ansuran mudah menggunakan kad kredit yang boleh dilakukan sehingga 24 atau 36 bulan bagi kad kredit terpilih tanpa faedah.

Maxis pula telah meletakan tawaran iPad, iPad Air, iPad mini dan iPad Pro dalam pakej iPad Zerolution mereka. Sesuatu pakej menarik yang anda boleh pertimbangkan.

Tawaran pakej bersama pelan data dari Maxis.

5. Beli iPad pada harga pendidikan

Saya tidak pernah mencubanya, tetapi ada beberapa rakan ATC pernah memberitahu yang mana mereka dapat membeli iPad dengan tawaran harga pendidikan dengan pautan dibawah.

Anda juga boleh mendapatkan penjimatan dengan pembelian pada harga pendidikan untuk iPad serta beberapa aksesori terpilih. Penjimatan ini boleh anda gunakan untuk mendapatkan papan kekunci.

Anda boleh mendapatkan diskaun pendidikan sebanyak RM220* bagi iPad Pro (2020) model 11 inci dan RM450* bagi 12.9 inci.

6.  Berhati-hati dengan ‘scammer’.

Untuk mendapatan model yang sudah tidak dikeluarkan, anda boleh mencari di pasaran peranti terpakai. Namun, anda diingatkan untuk sentiasa berhati-hati kepada taktik penjenayah yang aktif melakukan aktiviti penipuan dalam talian. Penjualan iPhone, Macbook dan iPad sering menjadi sasaran.

Antara paten yang berjaya dikesan adalah mereka ini menawarkan peranti pada harga yang tidak masuk akal (jauh lebih murah jika dibandingan dengan penjual lain), lokasi tempat tinggal di kawasan pendalaman dan tiada pilihan COD iaitu pembayaran dilakukan ketika barang diambil.

7. Sertai komuniti pendidik Apple

Setelah menemui peranti ideal anda, kini masanya untuk anda menyertai Apple Teacher Malaysia (ATC) dibawah kendalian ATC iChampion MY. Terdapat hampir 2,500 berkumpul disini dengan satu tujuan – menerokai kreativiti dalam pembelajaran.

Menerusi komuniti ini, anda berpeluang menyertai pelbagai latihan secara percuma secara kelas bengkel atau kelas dalam talian. Pakar-pakar pendidikan kami akan membantu anda untuk meningkatkan lagi kemahiran anda dengan mengoptimasi pengunaan iPad untuk pembelajaran.

Terima kasih saya ucapkan, semoga maklumat yang dikongsi dalam tiga bahagian ini dapat membantu anda membuat pilihan yang bijak. Jika ada persoalan lain, sila tinggalkan pada bahagian komen. Jumpa lagi.

Mohd Razif bin Abdul Razak merupakan seorang  Distingushed Educator dan juga  Profesional Leaning Provider yang banyak terlibat dalam latihan penggunaan iPad dalam pendidikan.

Komen

komen

Comments have been closed/disabled for this content.